RM2.6 juta peruntukan sanitasi awam di Putrajaya

PUTRAJAYA: Sejumlah RM2.6 juta diperuntukkan untuk tujuan sanitasi awam membabitkan pusat pentadbiran kerajaan, di sini, bagi menangani penularan wabak COVID-19. Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata proses itu perlu kerap dilaksanakan kerana ia membabitkan tempat yang sering dikunjungi orang ramai membabitkan semua jabatan kerajaan, masjid, pusat beli belah serta kawasan awam. Beliau berkata, semalam Putrajaya mencacatkan sifar kes positif baharu COVID-19 dan pihaknya berhasrat mengekalkan angka itu supaya menjadi contoh negara luar. “Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mempunyai perancangan dengan sentiasa menyediakan peruntukan khusus bagi operasi sanitasi awam terutama ketika negara berdepan gelombang ketiga pandemik ini,” katanya ketika sidang media Operasi Sanitasi Awam di Presint 4, di sini, hari ini.DISYORKAN UNTUK ANDA Operasi berkenaan dijalankan Kementerian Wilayah Persekutuan membabitkan 55 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Alam Flora Sdn Bhd, Perbadanan Putrajaya (PPj), SWCorp Malaysia dan Pejabat Kesihatan Daerah. Kerja sanitasi dijalankan di kawasan persekitaran bangunan menempatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Mengulas peruntukan dimaksudkan, Annuar berkata ia untuk membeli bahan sanitasi serta kelengkapan perlindungan diri (PPE), selain elaun lebih masa untuk petugas barisan hadapan terbabit. Beliau berkata, sebanyak 600 Persatuan Penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sudah diberi peruntukan khas antara RM2,000 hingga RM3,000 untuk melaksanakan kempen kesedaran bagi meningkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19. Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/10/743620/rm26-juta-peruntukan-sanitasi-awam-di-putrajaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *